Isteri Solehah Buah cinta suami



بِسْــــــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم





Dalam sebuah hadis yang Rasulullah S.A.W bersabda:

"Mahukah kamu aku beritahu dari hal sebaik-baik barang yang perlu disimpan oleh seorang lelaki?" Iaitu isteri yang solehah. Jika suami melihat kepadanya dia akan gembira , jika suaminya menyuruh sesuatu dia akan taati dan jika suami tiada di rumah dia akan menjaga harta suaminya dan memelihara kehormatan dirinya." (HR:Ibnu Majah)

Daripada Imam Ahmad dan Imam Muslim, daripada Umar r.a., Rasulullah S.A.W bersabda :

"Bermula dunia ini ialah kesukaan dan keseronokan dan sebaik-baik kesukaan itu ialah perempuan yang solehah."

Isteri yang solehah itu selalu memerhatikan akan tanggungjawabnya sebagai isteri, ia hanya berbuat sesuai dengan ketentuan Allah. Di antara ciri-ciri isteri solehah itu ialah bertanggungjawab terhadap kerja-kerjanya.


Pada dasarnya kewajipan isteri solehah itu ialah:


1. Patuh dan taat kepada suami yang soleh

Rumahtangga bahagia sebenarnya terletak pada isteri yang solehah. Ia taat kepada perintah Allah dan Rasul serta setia kepada suami yang soleh.

"Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri (tidak berlaku curang serta memelihara rahsia dan harta suaminya) di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka..." (Surah An-Nisa':34)

Isteri yang solehah itu di samping patuh kepada perintah Allah dan Rasulullah S.A.W, ia patuh terhadap suaminya dan menyimpan segala rahsia baik di luar rumah mahupun di dalam rumah. Ia selalu tersenyum dan menunjukkan muka manis terhadap suaminya. Tabiatnya yang baik itu menambah kasih sayang suaminya terhadapnya. Ia tidak pernah membantah kata-kata suaminya yag baik, semuanya dikerjakan dengan patuh kerana Allah.

Isteri yang baik apabila berkata dengan suaminya dengan suara yang lemah lembut dan penuh kesopanan . Begitu pula tidak boleh memerintah kepada suami, kecuali diucapkan dengan suatu yang baik sebagai suatu pertolongan. Walau bagaimanapun, ketaatan isteri terhadap suami tidak dalam semua perkara. Sekiranya perintah suami boleh membawa dosa, maka isteri dibenarkan membantah.

Rasululllah S.A.W bersabda,

"Jika diizinkan seorang manusia sujud kepada manusia,tentu aku akan suruh wanita-wanita sujud kepada suaminya lantaran begitu besar Allah jadikan hak lelaki keatas wanita"


2. Menguruskan rumahtangga

Seorang isteri Muslimah disuruh oleh Allah agar sentiasa berada dirumah dan tidak boleh pergi kemana-mana sesuka hati tanpa izin suami. Duduk di rumah bukan bererti hanya berdiam diri sahaja tetapi mengerjakan tugas sebagai isteri. Hikmah daripada perintah Allah tersebut iaitu, supaya para isteri dapat menjaga dan mendidik anak secara lebih sempurna ketika suami mencari rezeki. Disamping itu isteri dapat melakukan pekerjaan rumah seperti menghias rumah dan sebagainya.Walaupun ianya nampak remeh, tetapi ianya amat bermanfaat untuk menjamin keharmonian keluarga.


3. Berhias untuk suami

Menghias diri merupakan kegemaran wanita. Namun kadangkala wanita yang tidak faham akan kewajipannya,ia berhias diri ketika akan keluar rumah. Tetapi ketika di rumah ia dalam keadaan tidak bersih, kadangkala rambutnya pun tidak terurus. Padahal di dalam Islam menganjurkan supaya isteri berhias hanya untuk suami.

Tujuan isteri berhias ketika di rumah ialah supaya suami terhibur. Jika suami pulang dari tempat kerja dalam keadaan letih dengan melihat isteri dalam keadaan berseri-seri serta pakaian yang bersih, maka ia menjadi penawar kepada suami. Sehingga keletihan dalam mencari rezeki tadi menjadi hilang, dan bertambahlah kasih sayangnya terhadap isteri.

Sabda Rasulullah SAW:

"Dari Jabir ra. Ia berkata: Kami pernah pergi bersama-sama Rasulullah di dalam satu peperangan. Ketika kami sampai ke Madinah, kami ingin masuk ke rumah masing-masing. Maka Rasulullah SAW pun bersabda: Bersabarlah, iaitu masuklah pada waktu malam iaitu selepas Isyak, supaya isteri dapat bersikat rambutnya yang kusut dan supaya ia dapat berhias kerana telah lama telah ditinggalkan suaminya." (HR:Muttafaqun Alaihi)

Berhias bukan sahaja bagi menyambut kepulangan suami dari tempat kerja tetapi juga ketika suami ada di rumah. Wanita Islam hanya boleh berhias untuk dirinya sendiri dan untuk suaminya. Berhias mestilah dilakukan secara besederhana, kerana tujuan berhias agar ia kelihatan bersih dan senang dilihat oleh suami.


4. Melayani suami

Hubungan seks merupakan penawar kebahagiaan rumahtangga. Ia dipandang sebagai punca keharmonian rumahtangga. Oleh sebab itu isteri hendaklah memberikan layanan yang baik kepada suami dan tidak boleh menolak kemahuan suaminya .

Seorang isteri akan dikutuk oleh malaikat apabila ia menolak kemahuan suaminya sehinggalah suaminya reda kepadanya. Mungkin dalam keadaan tertentu isteri boleh menolak kemahuan suaminya seperti dalam keadaan sakit, atau dalam keadaan yang dilarang oleh syara' untuk melakukan persetubuhan seperti dalam keadaan haid dan sebagainya.


5. Berpakaian menurut ajaran Islam

Isteri yang menutup auratnya merupakan isteri yang solehah, ramai wanita pada zaman sekarang ini yang berpakaian tetapi telanjang kerana ia menutup bahagian tertentu sahaja, kalau menutup semua pun tetapi bentuk badannya tetap nampak jelas.

Allah SWT berfirman, ertinya:

"Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah sebagai perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat." (Surah Al-A'raar:26)

Jilbab merupakan satu fesyen pakaian wanta Islam yang menutup tubuh atau sebahagian besar badan wanita di sebelah atas, kecuali muka dan tapak tangan. Jilbab tidak menampakkan tubuh badan. Allah memerintahkan supaya berpakaian demikian supaya dapat membezakan antara wanita beriman dan tidak beriman, ia juga supaya terhindar dari golongan munafik.

Firman Allah yang bermaksud:

"Hai Nabi, katakanlah kepada isteri- isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan Jilbab mereka ke seluruh tubuh mereka."Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Penganmpun lagi Maha Penyayang." (Surah Al-Ahzab:59)


6. Memberi motivasi terhadap cita-cita suami

Isteri yang solehah adalah isteri yang mahu menjadi teman berunding bagi suami dan menjadi sahabat dalam menyelesaikan pelbagai masalah. Itulah hubungan suami isteri itu diertikan orang sebagai "teman hidup". Jika suami menghadapi masalah untuk mencapai cita-citanya dan cita-cita keluarga maka bermotivasilah kepadanya dan hiburkanlah hatinya. Isteri teladan disamping ia memberi dorongan dan bermotivasi kepada suami ia juga merupakan sumber ilham bagi suami. Ini membuatkan hati suami tenteram apabila bersama isteri dan segala masalah dihadapinya bersama-sama.


Di antara ciri-ciri isteri solehah yang lain ialah:


  • Tidak mengkhianati dan berlaku curang terhadapnya ketika ketiadaan suami.
  • Bersyukur di atas apa yang disediakan oleh suami.
  • Sentiasa menghormati keluarga suami .
  • Tidak berpuasa sunat tanpa kebenaran suami.
  • Tidak keluar rumah kecuali dengan izin suami.
  • Sentiasa menyerahkan diri kepadanya apabila ia memerlukannya.
  • Memakai wangi-wangian di hadapan suami.
  • Menjaga mulut daripada bau-bauan yang tidak menyenangkan.
  • Berdiam diri ketika suami sedang berkata-kata, baru berbicara setelah suami selesai berbicara.
  • Berdiri tegak sebagai tanda hormat semasa ia datang dan pergi.
  • Bersikap malu terhadap suami.


Kecelaruan Kitab Bible dan Penipuan Ayat-ayat Injil (Part 2)



بِسْــــــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم




Oleh : Imran Al-Malizi

Fabrikasi (Pemalsuan) Ayat-ayat di dalam Bible

Secara umumnya, kitab Bible terbahagi kepada 2 bahagian utama iaitu Perjanjian Lama (The Old Testament) dan Perjanjian Baru (The New Testament).
i. Bahagian pertama The Old Testament mengandungi kitab-kitab yang diambil daripada himpunan manuskrip Yahudi (termasuklah kitab Taurat yang telah diubah) yang merakamkan berkenaan kejadian penciptaan alam ini dan menceritakan kisah nabi-nabi terdahulu sebelum Jesus Christ (Nabi Isa A.S.) dan ramalan berkenaan dengan kelahiran baginda.
ii. Manakala bahagian kedua The New Testament pula menceritakan kisah hidup Jesus Christ bersama-sama dengan para pengikutnya sehinggalah saat baginda (mengikut kepercayaan penganut Kristian) ‘disalib’ oleh golongan Yahudi dan tentera Raja Herod (106-48 S.M.).

4 buah fasal (manuskrip) di awal bahagian ini, iaitu kitab-kitab Matthew, Mark, Luke dan John disebut Gospel (Injil yang telah diselewengkan).Juga turut dimuatkan himpunan manuskrip yang ditulis selepas ‘kematian’ Jesus Christ yang juga dianggap sebagai ‘wahyu’ melalui perantaraan Ruhul Qudus (The Holy Spirit/ Holy Ghost ).

Sebenarnya, bagi mereka yang mempelajari dan meneliti kitab-kitab Bible, maka pasti ia akan mendapati bahawa terdapat kepelbagaian versi kitab-kitab Bible di pasaran. Kepelbagaian ini adalah disebabkan oleh terjemahan serta penyemakan dan pemeriksaan semula (revision) kitab-kitab Bible yang sedia ada. Sebagai contoh, kitab Holy Bible, King James Version (KJV) di atas yang juga di sebut Authorized Version (AV) telah melalui proses semakan semula (revision) secara besar-besaran bermula dari tahun 1870 dengan autoriti majlis Gereja England (Church of England). Kitab tersebut yang diterbitkan pada tahun 1611 pada zaman Raja James telah pun mendapat pengiktirafan sekian lama daripada dunia Kristian sebagai ‘Kitab yang paling mulia dan tinggi di dalam frasa Inggeris’ malah ianya digelar ‘Versi yang Diakui’ (Authorized Version) .

Malangnya kitab ini terpaksa ‘diperbaiki’ kerana terdapat banyak kesalahan dan kesilapan yang serius sebagaimana yang diakui sendiri oleh para ilmuwan Kristian (bagaimanapun kitab ini masih lagi dijual di pasaran sehingga ke hari ini).

Tugas memeriksa dan menyemak semula Holy Bible KJV ini adalah bertitik tolak daripada sebab-sebab di atas dan justeru ia menjadi sangat perlu apabila berlaku perkembangan dalam pengkajian berkenaan Bible dan banyak penemuan manuskrip-manuskrip Bible (biblical manuscripts) yang lebih awal dan terdahulu daripada manuskrip-manuskrip yang digunakan ketika terjemahan dan penghasilan Holy Bible KJV diasaskan. Didapati terlalu banyak kecelaruan yang perlu diperbetulkan dan juga ayat-ayat yang perlu disingkirkan.Maka daripada penyemakan semula ini, kitab Bible The (British) Revised Version telah diterbitkan pada 1881-1885 dan American Standard Version yang dikatakan mempunyai kelainan dengan hasil gabungan dan pendekatan para ilmuwan Kristian dari Amerika pula telah diterbitkan pada tahun 1901.

Pada tahun 1928, hak cipta versi yang mutakhir itu telah diperolehi Majlis Pendidikan Keagamaan Antarabangsa (International Council of Religious Education) dan kemudiannya berpindah tangan kepada pertubuhan Gereja-gereja Amerika Syarikat dan Kanada (Churches of the United States and Canada). Majlis ini telah melantik satu jawatankuasa daripada kalangan ilmuwan agama bagi memegang amanah terhadap teks Bible American Standard Version dan memikul tugas berhubung permintaan supaya dibuat penyemakan lanjutan dan revisi semula dibuat terhadap teks tersebut.

Setelah mengkaji sama ada perlu atau tidak dibuat penyemakan lanjutan ini, maka pada tahun 1937, Majlis ini telah memberi kuasa kepada jawatankuasa tersebut untuk membuat penyemakan semula.Para ilmuwan agama yang mencurahkan tenaga di dalam jawatankuasa tersebut menjalankan kerja-kerja penyemakan dalam dua bahagian, sebahagiannya menumpukan kepada proses revisi Old Testament dan sebahagian yang lain kepada bahagian New Testament.

Dan pada tahun 1946, versi Bible, Revised Standard Version of the New Testament telah diterbitkan. Manakala kitab Holy Bible, Revised Standard Version (RSV) yang mengandungi kedua-dua bahagian Old Testament dan New Testament pula hanya dapat diterbitkan pada 30 September 1952. Melalui proses penyemakan semula ataupun revisi lanjutan ini, maka kitab Bible RSV ini mendapat pengiktirafan daripada kesemua gereja Kristian yang utama seperti Protestan (Protestant), Anglican, Roman Katolik (Roman Catholic) dan Ortodoks Timur (Eastern Orthodox).

Jawatankuasa Bible Versi Standard Semakan Semula (The Revised Standard Version Bible Committee) ini dianggotai oleh lebih kurang 30 orang ilmuwan lelaki dan wanita. Diwakili oleh seluruh gereja Kristian sedunia, termasuk para ilmuwan agama yang digabungkan daripada pelbagai mazhab Protestan, begitu juga beberapa ahli daripada Roman Katolik, Ortodoks dan juga Yahudi yang membantu untuk penyemakan di bahagian Old Testament.

Pada satu jangka masa, jawatankuasa ini turut dianggotai oleh beberapa ahli daripada Kanada dan England. Manakala Penerbitan Collins menyatakan kitab Bible RSV ini adalah hasil tangan 32 orang ilmuwan agama dan dibantu oleh jawatankuasa penasihat yang mewakili 50 mazhab.

bersambung...

Kecelaruan Kitab Bible dan Penipuan Ayat-ayat Injil (Part 1)



سمِ اللّهِ الرَّحْمنِ الرَّحَيْم




Oleh : Imran Al-Malizi

Firman Allah s.w.t (yang bermaksud):
“Kecelakaan yang besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini ialah dari sisi Allah”, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu.”
(Al-Baqarah : 79)
Umat Islam secara umumnya mengetahui bahawa agama Yahudi (Judaisme), Nasrani (Kristian) dan Islam adalah tergolong dalam agama-agama samawi yang datang dari sumber yang satu; wahyu Ilahi.Walau bagaimanapun, kitab-kitab suci yang terdahulu iaitu Taurat (Torah) dan Injil (Gospel) telah pun diselewengkan oleh para pendeta dan rahib mereka. Ini dapat diketahui sama ada melalui firman Allah s.w.t di dalam al-Quran ataupun difahami secara umum.
Di tengah-tengah kegawatan dan krisis akidah yang sedang hebat meratah keyakinan umat Islam di timur dan barat, khususnya gejala murtad yang melata di tanah air kita, adalah merupakan suatu yang sangat signifikan bagi kita selaku penganut Islam lebih-lebih lagi sebagai penuntut ilmu agar meneliti kembali dakwaan tersebut dengan lebih konkrit. Supaya kita tidak termasuk dalam golongan mereka yang hanya beriman dengan ‘berpeluk tubuh’.Melalui ruangan yang terhad ini, penulis hanya akan menyentuh beberapa doktrin di dalam ajaran Kristian yang berkait dengan kecelaruan Kitab Bible.
Adakah Tuhan itu Tiga (Trinity) atau Esa ..?
Firman Allah s.w.t. (yang bermaksud) :
“Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan". Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa...” (Al-Maa'idah : 73)
‘Trinity’ adalah paksi utama ajaran Kristian. Tanpanya, ajaran ini seolah-olah kehilangan tunggak. Doktrin ajaran ini mengatakan bahawa Tuhan itu terdiri daripada 3 juzuk iaitu : Tuhan Bapa (God / The Father), Tuhan Anak (Jesus Christ/ The Son/ The Word) dan Ruhul Qudus (The Holy Ghost/ Holy Spirit). Ketiga-tiga unsur ini juga merupakan ‘satu tuhan’ yang disembah oleh para penganut Kristian. Hujah yang menguatkan dakwaan mereka itu terdapat pada sepotong ayat yang didapati di bahagian Perjanjian Baru (New Testament) di dalam kitab Holy Bible, King James Version (KJV) atau Authorized Version (AV). Iaitu ayat yang berbunyi :
“For there are three that bear record in heaven, the Father, the Word, and the Holy Ghost : and these three are one.” (The First Epistle of John Ch.5 : V.7)
Inilah satu-satunya dalil yang paling jelas mengatakan bahawa ‘satu’ Tuhan itu terdiri daripada 3 unsur iaitu Tuhan Bapa (The Father), Tuhan Anak (The Word) dan Ruhul Qudus (The Holy Ghost). Setahu penulis, tidak ada lagi ayat-ayat lain di dalam kitab Bible yang menyatakan sejelas-jelas ayat ini, dan ayat inilah yang menjadi ‘modal’ utama para pendakyah misionari Kristian untuk menyebarkan ajaran bahawa Tuhan itu ‘tiga dalam satu’ (Trinity : in Christianity – the union of Father, Son and Holy Spirit as one God).
Bagaimanapun, adakah ayat tersebut benar-benar datang daripada wahyu Tuhan ataupun hanya REKAAN dan PENYELEWENGAN para pendeta mereka?!! Sebenarnya ayat tersebut telah pun disingkirkan oleh para ilmuwan Bible daripada cetakan kitab-kitab Bible mutakhir dan ianya dikira sebagai ayat palsu.
Bersambung...